Perutusan Pengerusi

Pertama sekali, saya bersyukur kepada Tuhan kerana dengan izinNya Persatuan Pembangunan Dayak Bintulu (BANGUN) ini berjaya didaftarkan pada tarikh keramat 26 Januari 2021 meskipun tidak kurang debar getir yang perlu diharungi dalam proses pendaftaran tersebut.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khas buat Ahli Jawatankuasa Penaja yang telah bertungkus lumus berikhtiar dan berusaha tanpa mengenal erti penat lelah berbekalkan semangat yang jitu dan kerjasama yang padu untuk sama-sama menjayakan pendaftaran BANGUN ini.

Terima kasih banyak kepada pihak ROS di atas khidmat nasihat dan jasa bakti mereka dalam meluluskan penubuhan BANGUN.

BANGUN ditubuhkan sebagai satu landasan untuk mendidik ahli persatuan khasnya dan masyarakat Dayak di Bintulu umumnya dari segi kemahiran dalam aspek pembangunan ekonomi, pertanian, pendidikan, kebudayaan dan kesenian.

Saya menaruh harapan yang tinggi agar setiap orang daripada ahli persatuan dapat menjiwai semangat kerja berpasukan serta jujur dan amanah menjalankan tanggungjawab dalam persatuan agar membuahkan hasil yang berkualiti, lestari, suci, mulia dan penuh berkat.

Saya percaya BANGUN akan terus berkembang maju dengan lebih aktif untuk mencapai objektif penubuhannya.

Kerjasama dan komitmen semua Ahli Jawatankuasa khasnya dan semua ahli amnya amatlah diperlukan untuk mencapai hasrat murni ini berlandaskan motto persatuan “Together We Achieve More.”

Akhir kata, ahli persatuan ibarat sel-sel yang saling memerlukan dan menyokong di antara satu dengan yang lain. Tanpa jalinan hubungan simbiosis di antara sel-sel tersebut, tidak mungkin sesebuah persatuan itu dapat bertapak dan berkembang seperti yang dihasratkan.

Selamat bergandingan dalam memajukan dan memartabatkan persatuan ini agar BANGUN sentiasa membangun mengikut peredaran masa dan waktu yang tiada noktahnya.

Sekian, terima kasih.

Thwaites Anak Langak
Pengerusi BANGUN